PRK Ayer Kuning: PN tawar manifesto realistik

Politik

TAPAH: Perikatan Nasional (PN) membentangkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang  realistik dan mampu dilaksanakan jika menang PRK tersebut.

Manifesto yang dibentangkan calon PN, Abd. Muhaimin Malek berdasarkan tinjauan turun padang sepanjang tempoh berkempen bertemu dengan pengundi .

Menurutnya, tawaran tersebut ialah tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar, ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa, K-Khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian.

Beliau berkata, selain itu, akses kemudahan dan infrastruktur dipertingkat dan mendengar suara rakyat.

“Tawaran ini bukan bersifat populis tetapi realistik sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat nanti.

“Saya akan memperjuangkan isu pencemaran yang menjejaskan kesihatan penduduk termasuk tindakan tegas terhadap ladang babi haram dan sistem sisa yang tidak cekap.

“Saya berhasrat membantu usahawan kecil melalui latihan asas keusahawanan, pertanian moden dan pemasaran digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan menerusi kerjasama agensi berkaitan. Kita juga akan perkenalkan inisiatif #BuatanAyerKuning bagi mempromosi produk tempatan melalui pendekatan kos rendah dan sokongan komuniti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning.

Abd. Muhaimin komited untuk mewujudkan dua pusat khidmat tetap dan satu bergerak akan ditubuhkan, selain program #AyerKuningSejahtera yang akan menggiatkan kerja-kerja sukarelawan membantu OKU, warga emas dan kes kecemasan.

“Kita juga akan memperluas pendidikan Islam serta memupuk keharmonian antara kaum di Ayer Kuning.

“Saya akan pastikan suara rakyat mengenai liputan internet, lampu jalan, jalan rosak dan kemudahan lain dibawa terus ke agensi terlibat. Usaha juga akan digerakkan untuk membina trek belia dan membaik pulih masjid serta pasar awam dengan kerjasama agensi kerajaan.

“Saya berjanji untuk menjadi suara rakyat yang lantang di DUN Perak – membawa isu tanah, membantah dasar yang membebankan rakyat, serta membentangkan Laporan Tahunan ADUN Ayer Kuning sebagai tanda komitmen kepada ketelusan dan pertanggungjawaban,” katanya. – UTUSAN