Pelbagaikan pasaran baharu industri kayu

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran baharu sebagai pengeksport kayu dengan meningkatkan kualiti produk biarpun terkesan dengan kadar baharu tarif Amerika Syarikat (AS).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, eksport industri perkayuan mencecah RM22.9 bilion setakat 2024 dan ia kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, tumpuan negara harus diberikan secara konsisten menghasilkan barangan berkualiti tinggi dengan mutu kerja yang unggul walaupun tarif menjejaskan banyak negara.

“Jangan hadkan eksport kami kepada satu negara sahaja. Mana-mana negara yang menyatakan minat terhadap produk kami harus melihat bahawa eksport Malaysia memenuhi standard antarabangsa yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu CTCS Worldwide Sdn Bhd di Menara PGRM 2, di sini hari ini.

Johari turut berkata, sebanyak 830 buah syarikat bumiputera telah berdaftar dengan industri perkayuan.

“Sebanyak 20 buah syarikat telah berjaya menembusi pasaran eksport daripada jumlah tersebut.

“Sasaran kita adalah untuk melihat lebih banyak syarikat bumiputera menembusi pasaran antarabangsa dan terus mengharumkan nama Malaysia sebagai peneraju dalam industri ini,” katanya. – UTUSAN