Utamakan pindaan pada undang-undang yang beri kesan langsung

Politik

PETALING JAYA: Undang-undang lapuk yang memberi kesan langsung kepada rakyat se­perti isu keselamatan, jenayah moden dan kesejahteraan sosial mesti diberi keutamaan untuk dikaji.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, kerajaan perlu meletakkan fokus kepada akta-akta yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti keselamatan, ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan asas.

“Kita tidak boleh tunda-tunda jika undang-undang itu memberi kesan besar kepada rakyat.

“Undang-undang seperti ke­selamatan siber, jenayah moden, serta isu sosial seperti gangguan seksual dan keganasan rumah tangga harus diberi keutamaan berbanding akta-akta lain yang kurang mendesak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, kerajaan telah mengkaji semula lebih 2,000 daripada keseluruhan 3,000 undang-undang lapuk setakat ini, bagi memastikan kekal relevan dengan peredaran masa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses kajian semula itu memerlukan satu tempoh yang agak panjang kerana ia melibatkan ribuan undang-undang yang sudah lapuk dengan ada sebilangan yang wujud sekitar tahun 1950.

Menurut Musa, reformasi undang-undang bukan sekadar soal bilangan akta yang dikaji atau dipinda, tetapi sejauh mana pindaan itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Kalau kerajaan kaji 2,000 undang-undang tetapi yang penting untuk rakyat tidak disentuh, ia tidak memberi makna. Apa yang diperlukan ialah pendekatan berimpak tinggi,” katanya.

Musa berkata, kerajaan juga perlu menetapkan sasaran tahunan atau sasaran sepanjang penggal Parlimen bagi bilangan rang undang-undang (RUU) yang mahu dibawa.

“Kerajaan sekarang perlu buk­tikan keazaman politik mereka. Sekurang-kurangnya jumlah RUU yang dibawa perlu lebih banyak daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini.

“Undang-undang yang tidak lagi sesuai dengan masa kini mesti segera dipinda agar tidak menjadi penghalang kepada pembangunan.” ujarnya. – UTUSAN