Emery optimis Villa layak ke saingan utama Eropah

Sukan

MANCHESTER: Pengurus Aston Villa, Unai Emery mengakui kekalahan 2-1 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam telah memberi tamparan hebat kepada pasukannya untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.

Villa layak beraksi di kejohanan tertinggi itu buat kali pertama selepas 41 tahun pada musim ini sebelum disingkirkan Paris Saint Germain (PSG) pada peringkat aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

“Sudah tentu, hari ini (semalam) kami tewas, tetapi masih ada perlawanan yang perlu dimainkan, masih ada mata yang perlu dikutip. Kami masih mempunyai peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara.

“Saya gembira dengan cara kami memberikan reaksi, bagaimana setiap pemain menghadapi situasi yang kami sedang lalui,” katanya.

Kekalahan itu menyebabkan Villa berada di tangga ketujuh ketinggalan dua mata di belakang Newcastle yang mengutip 59 mata di kedudukan kelima iaitu slot terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dalam pada itu, Emery menggesa pemainnya untuk bangkit menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Crystal Palace di Wembley pada Sabtu ini.

“Kami tak boleh buang masa, kami kalah pada minit akhir perlawanan ini, tetapi kami bersaing dengan baik. Kami hampir mendapatkan keputusan seri.

“Sepanjang 90 minit, City lebih mendominasi, tetapi kami bermain dengan penuh persaingan. Kami perlu kekalkan sikap positif dan bekerja keras untuk bersedia menghadapi perlawanan menentang Crystal Palace,” katanya. – AGENSI