Serah pihak berwajib siasat dakwaan sungai tercemar

Politik

TAPAH: Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi menyiasat isu kesucian air sungai yang dikaitkan dengan pencemaran sisa kumbahan babi di sebuah ladang ternakan di Ayer Kuning.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang dakwaan berkaitan kesucian air sungai itu hanya boleh dijawab oleh pihak yang mempunyai autoriti.

“Yang boleh mengesahkan kandungan air sungai itu cukup syarat atau pun tidak untuk mengambil wuduk, bukan saya tetapi JAIPk.

“Saya tidak mahu politikkan isu ini. Biar JAIPk pergi lihat dahulu bukannya ahli politik. Waktu sekarang ini, kalau dijawab pun tak betul juga sebab tujuan mereka ke sana untuk politikkan keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Seminar Keibubapaan anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dimainkan Perikatan Nasional (PN) kononnya aliran air sungai di Kampung Poh tercemar sehingga dikatakan tidak suci dan tidak sesuai untuk berwuduk.

Menurut Saarani, isu berkaitan ladang babi di Kampung Tanjung Keramat dekat sini telah pun dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Katanya, Sivanesan telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menyelesaikan isu berkenaan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun ini.

“Walaupun isu ini bukan di bawah potfolionya tetapi dia menawarkan diri agar diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menyelesaikan masalah ladang ternakan babi ini.

“Jadi saya beri tanggungjawab itu kepada dia. Saya yakin dia telah buat banyak perkara walau pun tidak mudah. Ini diakui sendiri oleh Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria yang memegang potfolio itu sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu ladang ternakan babi yang terus dipolitikkan pihak pembangkang itu menunjukkan mereka ketandusan idea untuk dijadikan bahan kempen bagi menyerang kerajaan.

“Saya menjadi ADUN di Perak ini sudah enam penggal. Hampir semua perkara berkaitan pembangunan telah dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

“Kita cuba selesaikan semua masalah orang tapi bila datang PRK (Pilihan Raya Kecil), semua isu yang orang tidak puas hati dia akan korek dan jumpa.

“Saya nasihatkan orang ramai beri peluang kepada kerajaan ini untuk kita terus bangunkan negeri. Saya mahu bangunkan Perak sebagai negeri industri dan perlukan pasukan yang kuat untuk bantu saya,” katanya. – UTUSAN