RM1 bilion untuk projek padi, tidak beri hasil langsung kepada

Politik

ALOR SETAR: Peruntukan berjumlah RM1 bilion yang dinyatakan Perdana Menteri untuk membantu sektor padi di Kedah tidak dinikmati secara langsung oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, RM1 bilion dimaksudkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah untuk menyiapkan infrastruktur bagi meningkatkan hasil padi, manakala RM200 juta dituntut Kedah adalah pampasan atas kos melepas ditanggung kerana mengekalkan tanaman padi.

“Perkara kita cakap ini berkaitan cukai tanah sawah padi. Itulah hasil negeri selain sumber air mentah yang itu pun sebahagian sahaja sekarang ini. Untuk air terawat bukan lagi sumber kerajaan negeri setelah diswastakan.

“Jadi keperluan RM200 juta itu untuk kita urus negeri ini yang rakyatnya makin bertambah, keperluan pengurusan, gaji semakin naik maka kena ada hasil. Kalau tiada pertambahan hasil kita hendak ambil mana kerana sumber terhad,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, isu insentif khas bagi mengekalkan jelapang padi di Kedah terus menimbulkan pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

Ia susulan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Kedah akan terus menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi, sekali gus menjamin bekalan beras negara.

Dalam reaksinya, Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk membantu sektor padi di Kedah yang diberi secara berterusan termasuk sebagai insentif khas untuk negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi.

Tambah Muhammad Sanusi, kerajaan Kedah tidak menolak kiraan RM41 juta setahun yang dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya hanya mengemukakan cadangan balas berdasarkan perkiraan dan mekanisme nilai-nilai yang telah diambil kira dalam tuntutan berjumlah RM200 juta setahun.

“Saya tidak kata tolak, bila ‘depa’ (mereka) kemukakan cadangan melalui KAGUMN, kita kemuka cadangan balas, bukan kita tolak depa punya kiraan.

“Saya tidak pasti sama ada RM41 juta itu akan dikekalkan atau tidak. Sama ada tambah atau kurang saya tidak tahu. Tapi kita punya tuntutan kekal RM200 juta setahun kerana inilah kehilangan yang telah kami alami selama ratusan tahun,” katanya. – UTUSAN