32 syarikat tunjuk minat melabur dalam SFZ Forest City

Perniagaan

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 32 syarikat tempatan dan antarabangsa menunjukkan minat untuk melabur di Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ Forest City), setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah tersebut, 19 syarikat bersetuju menubuhkan pejabat keluarga di kawasan berkenaan dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Semua perancangan dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kejayaan Forest City sebagai SFZ serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berada pada landasan yang tepat.

“Kesemua agensi berkaitan juga sedang bekerja secara agresif untuk menarik kemasukan pelaburan dari dalam dan luar negara ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Forest City kini muncul sebagai hab kewangan dan perniagaan antarabangsa strategik dan berada pada landasan tepat menjadi sebuah destinasi pelaburan utama.

“Kerajaan sedang giat menjalin hubungan dengan pelabur berpotensi bagi memahami keperluan dan keutamaan pelaburan mereka secara lebih baik.

“Kerajaan juga terbuka menawarkan insentif yang direka khusus bagi sesuatu pelaburan utama berdasarkan keperluan tertentu yang mungkin diperlukan mereka,” jelasnya.

Ting Han memberitahu, lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini minggu lalu telah membawa peluang besar melibatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara. – UTUSAN