PETALING JAYA: Kejohanan golf korporat paling berprestij, Cabaran Golf Dunia Korporat (WCGC) peringkat antarabangsa kembali mewarnai persada sukan golf tanah air tahun ini dengan pembabitan syarikat-syarikat gergasi dalam satu platform yang menggabungkan semangat kesukanan dan diplomasi korporat.
Sebanyak 32 negara bakal berentap pada WCGC tahun ini di mana Malaysia dilantik sebagai tuan rumah dan Elora Global Sdn. Bhd. diberi kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan itu kali ini.
WCGC yang menghimpunkan pemain-pemain golf korporat daripada syarikat-syarikat gergasi seluruh dunia bakal berentap di lima padang golf terkemuka di negara ini sebagai pusingan kelayakan sebelum melayakkan diri ke grand final di Shanghai, China dari 19 hingga 23 Oktober depan.
Pusingan pertama akan berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor pada 22 Mei ini, pusingan kedua di Tropicana Golf & Country Resort (24 Jun), pusingan ketiga di Glenmarie Golf & Country Club (22 Julai), pusingan keempat di Templer Park Country Club (21 Ogos) dan pusingan kelima di Kota Permai Golf & Country Club pada 25 September.

Pasukan yang muncul juara dalam setiap pusingan kelayakan bakal berentap dalam grand final di China termasuk pasukan yang bakal mewakili Malaysia.
Majlis pelancaran rasmi kejohanan yang dibawakan oleh Enotech Sdn Bhd itu berlangsung meriah di Shah Alam semalam, menandakan permulaan kepada siri kejohanan golf korporat yang bakal memuncak pada pusingan akhir kebangsaan.
Edisi tahun ini turut menerima suntikan istimewa menerusi naungan Diraja oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan menyempurnakan pelancaran kejohanan.
Baginda yang terkenal sebagai tokoh muda progresif dan aktif dalam pembangunan belia serta sukan menzahirkan keyakinan tinggi terhadap potensi kejohanan tersebut dalam menyatukan pelbagai pihak dalam suasana profesional dan berprestij.
“Ini bukan sekadar satu cabaran golf tetapi ia adalah platform yang menyatukan para pemimpin korporat, penaja dan ikon sukan untuk menjalin hubungan serta mempamerkan kecemerlangan. Beta menantikan semangat persaingan dan kerjasama yang akan terpancar ketika Malaysia melangkah ke peringkat akhir dunia,” titah Baginda dalam ucapan perasmian.
Kejohanan kali ini dijangka menarik penyertaan syarikat terkemuka dari pelbagai sektor industri, sekali gus membuka ruang untuk interaksi strategik dan jalinan hubungan perniagaan melalui medium sukan golf.
Sementara itu, penaja utama kejohanan, Enotech turut memanfaatkan platform ini untuk terus memperkukuh jenama sebagai syarikat yang bukan sahaja aktif dalam sektor perfileman, malah komited menjunjung budaya dan identiti nasional.
Dengan penyertaan korporat yang kukuh dan sokongan Diraja yang padu, WCGC Malaysia 2025 bukan sahaja menjanjikan persaingan sengit di lapangan golf, malah bakal menjadi lambang kesepaduan antara dunia sukan dan perniagaan dalam memperkasakan nama Malaysia di mata dunia. – UTUSAN