Final Piala Malaysia: Wan Rosdy ramal Pahang tewaskan JDT 2-1, Sabtu ini

Sukan

KUANTAN: Skuad Sri Pahang diyakini mampu menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini sekali gus membawa pulang piala berprestij tersebut ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau yakin Tok Gajah akan mencapai kemenangan dengan keputusan 2-1.

“Saya yakin Sri Pahang menang 2-1,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini.

Wan Rosdy turut menyeru seluruh penyokong Tok Gajah untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberi semangat kepada pasukan kesayangan negeri itu.

“Saya menyeru semua rakyat Pahang khususnya peminat bola sepak supaya turun ke stadium menyokong Sri Pahang,” katanya.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2024–25 antara JDT dan Sri Pahang dijadualkan berlangsung pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini penampilan kesembilan Sri Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan kali pertama sejak 2018.

JDT pula akan membuat penampilan ke-10 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan memburu kejuaraan ketiga berturut-turut.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Sri Pahang melangkah ke pentas final piala berprestij itu pada tahun 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan JDT.

Pada final itu, skuad Pahang menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2. – UTUSAN