Kemenangan orang muda dalam pemilihan PKR bukan perkara baru

Politik

TAPAH: Kemenangan ramai anak muda dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang bukan sesuatu yang baru.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, PKR sejak awal penubuhannya sentiasa meraikan penglibatan golongan muda dalam politik.

“Sebenarnya, ini bukan perkara yang baru dalam PKR. Kalau kita lihat struktur kepimpinan parti itu sendiri daripada Timbalan Presiden ke bawah rata-ratanya dalam lingkungan umur 40 tahun atau pun 35 tahun ke atas.

“PKR sebenarnya memang meraikan dan mahu kepimpinan muda untuk terus berada dalam barisan kepimpinan utama dan ini diterjemahkan dalam bentuk pemilihan parti,” katanya ketika ditemui pemberita ketika program Ziarah Kasih Madani di Kampung Tanah Pinggir, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Kamil, keputusan pemilihan peringkat cabang yang didominasi anak muda itu tidak bermaksud parti meminggirkan sumbangan pemimpin lama.

Sebaliknya beliau berkata, situasi itu mencerminkan aspirasi akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan muda yang lebih aktif dan progresif.

“Ini adalah suara dan kehendak akar umbi serta satu mesej yang jelas daripada anggota di bawah bahawa kita mahukan pemimpin muda yang lebih cergas dan aktif.

“Bagaimanapun, ini bukan bermaksud kita menidakkan sumbangan dan jasa pemimpin lama. Bagi menggerakkan jentera dan organisasi, anggota fikir perlunya pimpinan muda yang lebih kehadapan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, beliau berkata, AMK telah mengenal pasti bilangan pengundi luar yang dirayu pulang untuk mengundi.

Katanya, kelompok berkenaan telah dihubungi dari semasa ke semasa dan usaha dijalankan bagi menyakinkan golongan tersebut keperluan untuk pulang pada Sabtu ini.

“Kita perlu meyakinkan mereka bahawa pilihan raya ini bukan hanya sekadar pilihan raya kecil yang biasa tetapi ruang untuk kita menyatakan pendirian, menolak politik yang menyemai kebencian, huru-hara dan maki hamun.

“Kita tidak mahu ruang ini dijadikan untuk memecahbelahkan ukhwah dan kesatuan dalam kalangan kita,” katanya. – UTUSAN