Johor cuti peristiwa Isnin, hargai JDT mara ke final Piala Malaysia

Sukan

JOHOR BAHRU:  Kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin ini, 28 April ini sebagai meraikannya kejayaan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Sri Pahang, Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, cuti peristiwa tersebut dititahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang skuad Harimau Selatan.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia.

“Dengan empat gelaran Piala Malaysia dalam tangan pada musim 2017, 2019, 2022 dan 2023, misi kejuaraan kelima kini di depan mata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Beliau turut mengajak rakyat Johor untuk memberikan sokongan kepada JDT dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ayuh seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. Semoga kemenangan milik pasukan JDT!,” katanya. – UTUSAN