PETALING JAYA: Untung bersih Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) dijangka jatuh antara 17.2 peratus hingga 26.9 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama, didorong penurunan purata nilai harian (ADV), di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati.
Penganalisis CIMB Securities Sdn. Bhd., Nurzulaikha Azali berkata, ADV pasaran sekuriti itu menurun 14.2 peratus tahun ke tahun dan 5.3 peratus suku ke suku.
Ujarnya, hasil Bursa Malaysia dijangka jatuh antara 6.3 peratus hingga 11.5 peratus tahun ke tahun dan 5.6 peratus 10.9 peratus bulan ke bulan.
“Kami menganggarkan ini akan menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan (CTI) yang lebih tinggi sebanyak 53 peratus hingga 56 peratus (suku pertama 2024: 46.5 peratus, suku keempat 2024: 53.8 peratus).
“Sentimen pelabur berkemungkinan kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat, didorong oleh ketidaktentuan perdagangan global dan potensi kesan daripada pendirian perdagangan dan perubahan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang boleh melembabkan pertumbuhan global dan meningkatkan turun naik pasaran,” katanya.
Beliau berkata, keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi suku tersebut merosot kepada antara RM55 juta dan RM62 juta, mewakili penurunan 21 peratus kepada ramalan konsensus tahun penuh tahun kewangan 2025 sebanyak RM296.3 juta.
Katanya, CIMB Securities mendapati ADV pada bulan April (sehingga 22 April) jatuh 32.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.0 bilion, turun daripada RM2.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Ini menjadikan ADV dari awal tahun hingga kini kepada RM2.7 bilion, menandakan penurunan 14.3 peratus tahun ke tahun daripada RM3.1 bilion. Oleh itu, kami memberi amaran bahawa unjuran pendapatan kami mungkin menghadapi risiko penurunan.
“Sekiranya paras ADV semasa sebanyak RM2.7 bilion berterusan dalam kewangan 2025, kami menganggarkan menurun semakan kepada ramalan pendapatan tahun kewangan 2025, 2026 dan 2027 kami sebanyak 5.5 peratus, 5.6 peratus dan 5.7 peratus kepada Bursa Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN