Indeks Pelopor catat 112.4 mata pada Februari 2025 

Perniagaan

PETALING JAYA: Prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 112.4 mata pada Februari 2025, mencerminkan penurunan kecil sebanyak 0.004 mata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi itu terutamanya disebabkan oleh penguncupan yang ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan sebanyak negatif 34.5 peratus dan diikuti oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-21.5 peratus). 

Katanya, dari segi prestasi bulanan, IP mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus pada Februari 2025, menggambarkan penurunan sederhana berbanding 1.1 peratus para bulan sebelumnya, disokong terutamanya oleh peningkatan sebanyak 0.5 peratus dalam import benar semikonduktor.

Sementara itu, melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Februari 2025, beliau berkata, IP kekal berada di bawah 100.0 mata. 

“Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka kekal menyederhana disokong oleh asas ekonomi yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global yang membawa kepada kesan limpahan yang kompleks.

“Dalam para itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa secara keseluruhan meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 144.8 mata pada Februari 2025 berbanding 124.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

“Prestasi ini disumbangkan oleh peningkatan yang meluas merentas semua komponen IS. Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS meningkat sebanyak 1.9 peratus pada Februari 2025, pulih semula daripada penurunan 1.4 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Pemulihan yang ketara ini didorong oleh peningkatan 2.3 peratus dalam kapasiti penggunaan pembuatan, yang mewakili peningkatan tertinggi antara komponen penyumbang,” katanya.-UTUSAN