Kerjasama BN-PN ibarat mimpi di siang hari

Politik

TAPAH: Barisan Nasional (BN) tidak akan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk kerajaan negeri di Perak.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan kerjasama di antara gabungan parti politik itu disifatkan sebagai mimpi di siang hari.

“Baguslah kalau dibuat lebih lama dulu tapi kalau di Ayer Kuning baru ada cadangan seperti itu, saya ingat sekarang sudah pukul 12.30 tengah hari. Kalau kita mimpi, ertinya mimpi di siang hari,” katanya secara sinis ketika sidang akhbar pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal yang menyebut masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning dapat diselesaikan sekiranya UMNO dan PN bergabung bagi membentuk kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, dua parti itu akan mempunyai majoriti besar sekiranya bergabung sekali gus memudahkan agenda dalam memperjuangkan isu rakyat.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menunjukkan mereka mulai sedang kehilangan sokongan rakyat di DUN Ayer Kuning.

Katanya, tiada keperluan untuk membentuk kerjasama kerana keyakinan rakyat terus utuh dan pemimpin tempatan juga telah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sebagaimana yang kita ketahui gabungan yang disebut itu tidak perlu kerana kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad yang terbaik setakat ini bagi menyelesaikan masalah berkait pembangunan dan keperluan rakyat.

“Saya fikir mereka telah sedar bahawa PN kehilangan sokongan di Ayer Kuning di mana Datuk Seri M. Saravanan sebagai Ahli Parlimen Tapah telah memberikan khidmat terbaiknya termasuk di Ayer Kuning” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, beliau yakin bahawa segala permasalahan rakyat akan terus diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan. – UTUSAN