PGB sambung semula operasi, tambah baik bekalan gas

Perniagaan

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) komited ke arah memastikan akses kepada bekalan gas yang berterusan dan boleh dipercayai dengan penyambungan semula operasi di Puchong City Gate. 

Menurut kenyataannya, perkembangan ini akan membolehkan penghantar menyediakan bekalan gas ke zon terpencil.

Katanya, menyedari peranan kritikalnya sebagai pengangkut gas, PGB kekal teguh dalam memajukan kerja-kerja pemulihan di tapak kejadian.

“Pada masa yang sama, PGB sedang meneroka cara untuk meningkatkan kapasiti bekalan sambil mengekalkan integriti sistem saluran paip.

“Keselamatan orang awam dan operasinya kekal sebagai keutamaan dan PGB akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan insiden serta menyokong inisiatif kerajaan untuk membina semula komuniti yang terjejas,” katanya.

PGB berkata, dengan sokongan dan pemahaman pihak berkepentingan, pihaknya akan meneruskan usahanya untuk memulihkan akses kepada bekalan gas secara progresif.

Kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lalu, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.-UTUSAN