Ustaz Yusri penghubung terbaik rakyat Ayer Kuning dengan kerajaan negeri Perak – Kamil

Politik

KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir merupakan penghubung terbaik buat penduduk di situ dan kerajaan negeri Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, sehubungan itu, semua pengundi di Ayer Kuning perlu berfikir secara matang dan membuat keputusan tepat dengan memilih Mohamad Yusri yang mesra disapa ustaz pada PRK berkenaan, esok.

“Saya yakin BN mampu mempertahankan DUN Ayer Kuning, esok. Ini berdasarkan beberapa faktor pertama, kerajaan negeri Perak adalah gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dan sokongan komponen BN serta komponen kerajaan Perpaduan begitu baik sekali.

“Faktor lain daripada segi ketumbukan jentera parti, hampir seluruh Malaysia turun membantu di Ayer Kuning, ini isyarat Ayer Kuning akan dapat dipertahankan oleh BN. Saya berpandangan, majoriti akan meningkat berbanding sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Kamil dalam pada itu menyeru semua pengundi berdaftar di DUN Ayer Kuning membuat pilihan terbaik esok dengan memilih Ustaz Yusri.

“Berbekalkan pengalaman pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), aktif dalam khidmat masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ustaz Yusri calon terbaik buat rakyat Ayer Kuning.

“Selain itu, Ustaz Yusri turut dikenali ramai dan dihormati masyarakat kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh dan guru di Sekolah Kebangsaan Batu Tiga Ipoh, Perak.

“Pemilihan Ustaz Yusri pastinya akan memenuhi cita rasa dan kehendak semua rakyat pelbagai kaum di DUN Ayer Kuning,” katanya.

Berhubung isu ladang babi yang dimainkan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, pengusaha kandang terbabit di Ayer Kuning mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Ia sudah lama sebenarnya dan sengaja dimainkan demi kepentingan politik pada PRK Ayer Kuning.

“Cuba bayangkan mereka kata sungai tercenar. Bagaimana mereka boleh randuk dan masuk ke dalam sungai dan ambil sampel air? Itu hanya persepsi jahat dan mainan politik.

“Sedangkan untuk mencapai kemenangan, parti politik atau calon bertanding seharusnya jelaskan tentang visi, misi dan perancangan untuk rakyat. Kalau itu menjadi kayu ukur (PN) untuk menang pilihan raya, ia bukan cara terbaik.

“Ia hanya untuk memecahbelahkan rakyat di Ayer Kuning, lepas habis PRK kali ini, mereka (pemimpin  PN) akan balik ke kawasan masing-masing. Keperluan sebagai sebuah parti politik adalah bercerita soal kesejahteraan rakyat, bukan main sentimen jahat dan cari salah orang,” katanya.

Beliau sehubungan itu yakin pengundi di DUN Ayer Kuning bijak menilai antara kaca dan pertama dan calon serta parti mana yang mampu membela nasib mereka keseluruhannya.

Seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri; calon PN, Abd. Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia). – UTUSAN