Hakim Danish julung kali tempah petak pertama di sesi kelayakan

Sukan

PETALING JAYA: Pelumba muda Malaysia, Hakim Danish Ramli bermula positif dalam aksi pembukaan musim apabila menempah petak pertama yang julung kali berjaya dilakarnya pada sesi kelayakan Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Jerez, Sepanyol, tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Anak jati Kuala Terengganu itu melakar masa sepusingan terpantas 1 minit 48.223 saat (s) bagi membolehkannya memimpin perlumbaan 1 pada pukul 10.10 malam ini.

Hakim Danish meninggalkan naib juara musim lalu, Brian Uriarte dari Sepanyol di petak kedua yang mencatat masa 1:48.669s, iaitu keciciran 0.446s di belakangnya.

Pelumba Austria, Leo Rammerstorfer pula akan memulakan aksinya di grid ketiga selepas mencipta masa sepusingan 1:48.776s.

Hakim Danish berkata, keputusan baik berjaya dilakarnya selepas berasa selesa dan yakin terhadap prestasi jenteranya.

“Saya berjaya berada di kedudukan keempat pada sesi latihan bebas pertama dan sesi kedua pula saya berjaya menghuni tangga kedua.

“Keputusan itu meningkatkan keyakinan saya untuk melakukan lebih baik dengan jentera saya pada kelayakan dan alhamdulillah saya berada di petak pertama,” katanya menerusi kiriman video dari Jerez.

Pelumba berusia 17 tahun itu berkata, kejayaan tersebut juga merupakan kali pertama berjaya diciptanya sejak menyertai Piala RedBull MotoGP Rookies, dua musim lalu.

“Saya gembira dan cuba bekerja keras lagi untuk menang di dalam perlumbaan 1, esok (malam ini).
“Saya akan buat sehabis baik dan saya mohon semua rakyat Malaysia doakan kejayaan saya di Jerez,” kata Hakim Danish yang berpangkalan secara sepenuh masa di Sepanyol, musim ini.

Pada tahun lalu, Hakim Danish melengkapkan aksinya di kedudukan keenam keseluruhan selepas mengumpul 139 mata dengan empat keputusan podium. – UTUSAN