Calon BN mengundi di SK Sungai Lesong

Politik

TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, selesai mengundi di pusat mengundi di SK Sungai Lesong di sini hari ini.

Mohamad Yusri yang memakai kemeja dan seluar berwarna gelap tiba di pusat pengundian di SK Sungai Lesong pada pukul 8.45 pagi.

Beliau dilihat beratur dan menunggu giliran di saluran 2 sebelum mengundi.

“Saya telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Diharapkan pengundi keluar awal memandangkan keadaan cuaca kini baik dan redup,” katanya.

Mohamad Yusri berpuas hati dengan proses pengundian dan berharap ia berjalan lancar sehingga tamat masa mengundi pada pukul 6 petang ini.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri dengan Abdul Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN