Peluang Sivasangari lonjak ranking di Switzerland

Sukan

PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita No. 1 negara, S. Sivasangari berpeluang untuk kembali melonjakkan ranking dunianya selepas mara ke separuh akhir pada Piala Grasshopper 2025 di Zurich Hauptbahnhof, Switzerland, hari ini.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang berjaya mempamerkan permainan cukup klinikal membenam cabaran wakil Mesir, Nada Abbas 11-6, 11-3 hanya dalam masa 15 minit pada kejohanan bertaraf Gold tersebut.

Menanti Sivasangari di peringkat empat terbaik ialah bintang No. 6 dunia, Tinne Gilis dari Belgium yang diletakkan sebagai pilihan kedua.

Gilis mara ke separuh akhir selepas mengetepikan seorang lagi pemain Mesir, Salma Hany menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-8 dalam masa 35 minit.

“Hari ini, saya benar-benar bersedia. Saya rasa permainan menggunakan format tiga set ini berlangsung pantas, jadi, saya perlu bermain baik sejak awal permainan lagi.

“Nada seorang pemain yang tidak mudah berputus ada dan dia mampu bangkit walaupun ketinggalan, jadi saya perlu kekal tenang sewaktu mendahului,” kata Sivasangari ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Pemain berusia 26 tahun itu turut mengakui berasa gementar dan berusaha fokus kepada perancangan taktikalnya kerana enggan terikut-ikut dengan corak permainan lawan.

Sivasangari yang perlu beraksi konsisten bagi mencerahkan peluangnya layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat menghuni ranking tertinggi sepanjang kariernya iaitu di tangga No. 7 dunia beberapa minggu lalu.

Namun, beberapa siri kekalahan antaranya di Terbuka Switzerland, Terbuka Australia dan yang terbaru pada Terbuka Antarabangsa El Gouna di Mesir yang bertaraf Platinum telah menyebabkan ranking Sivasangari jatuh ke tangga No. 11 dunia.

Gagal melangkah jauh sekurang-kurangnya ke separuh akhir yang mampu menghadirkan kutipan mata yang banyak telah menjadi punca Sivasangari bergelut mengekalkan rankingnya itu.

Namun, kejayaannya melangkah jauh sehingga ke peringkat empat terbaik pada Piala Grasshopper diharap dapat mengambalikan Sivasangari ke dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Walaupun, berdepan cabaran yang cukup getir menentang Gilis, tetapi, tiada yang mustahil buat Sivasangari yang pernah mendapat jolokan ‘giantkiller’.

Jika kejutan berjaya dijelmakan, dia berkemungkinan besar berdepan bintang No. 1 dunia, Nouran Gohar dari Mesir di pentas akhir sekiranya tiada kejutan dalam satu lagi separuh akhir oleh Georgina Kennedy dari England. – UTUSAN