JOHOR BAHRU : Lebih 100 buah bas yang membawa kira-kira 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mula bergerak menuju Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pagi ini.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT, Mohd. Fadzli Sapie berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 bas berkonvoi dari Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin manakala bas lain bergerak akan bergerak dari beberapa lokasi berbeza setiap daerah.
Katanya, konvoi terbesar yang akan bergerak ke venue perlawanan akhir Piala Malaysia itu ialah kelab penyokong Boys Of Straits (BOS) yang menyediakan hampir 80 buah bas.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik dan harapnya perjalanan kita juga lancar. Semua penyokong sudah bersemangat nak ke Bukit Jalil, kita akan berjumpa dengan bas lain yang turut mula bergerak dari Segamat, Pontian, Kulai dan Ayer Hitam.
“Walaupun jualan tiket agak suram kali ini, tetapi sebenarnya sambutan penyokong nak menonton final Piala Malaysia di SNBJ masih di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui di Stadium Larkin, di sini hari ini.
Mohd. Fadzli berkata, dianggarkan kira-kira 30,000 penyokong akan membanjiri SNBJ malam ini bagi memberi sokongan buat Harimau Selatan dalam misi melengkapkan kejuaraan quadruple (empat piala) semusim.
Tambahnya, tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan itu adalah kira-kira 100 orang penyokong JDT dari Singapura yang akan bergerak dari Plaza Larkin.
Sementara itu, penyokong tegar JDT, Noraini Arshad, 64, berkata, sejak pukul 7.30 pagi lagi dia sudah terpacak di Stadium Larkin bagi menyaksikan perlawanan malam ini.
Pemandu e-hailing itu berkata, dia tidak pernah terlepas menonton perlawanan JDT bahkan sentiasa mengikuti rombongan kelab penyokong itu ke setiap perlawanan termasuk di luar negara.
“Saya tiap-tiap tahun akan join ‘trip’ seperti ini. Sebelum ini, saya pergi sampai ke Australia ketika perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) dan pernah juga ke Thailand dan Kemboja. Saya memang sangat meminati JDT sejak 2013. Melihat pada prestasi musim ini, saya jangka JDT akan menang mudah dengan jaringan 4-0,” katanya yang berasal dari Kulai.
Bagi Ahmad Syafiq Ismail, 38, ini bukan kali pertama dia menyertai konvoi itu namun keterujaan menyaksikan aksi final Piala Malaysia itu masih membara.
Pekerja swasta itu berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang menonton kelab kesayangannya itu beraksi di pentas perlawanan akhir sejak 2021.
“Saya kerap juga datang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi menonton JDT beraksi pada musim ini termasuklah membabitkan perlawanan ACLE. Sebagai penyokong, ini adalah peranan kami untuk memberikan sokongan tak berbelah bahagi, apatah lagi JDT selangkah lagi untuk merangkul Piala Malaysia,” katanya yang menetap di Bandar Baru Uda, di sini.-UTUSAN