TAPAH: Pasangan suami isteri yang menjadi pengundi terakhir tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti di sini lega apabila berjaya menunaikan tanggungjawab meskipun di saat-saat akhir.
Menurut Poon Tuck Chee, 49, dia dan isteri, Lim Yoke Yin, 49, lewat datang ke pusat mengundi kerana perlu menyelesaikan urusan keluarga.
Katanya, dia bergerak dari Ipoh pada pukul 3.05 petang dan tiba di pusat mengundi pada 3.45 petang.
“Mujur jalan tidak sesak dan kami dapat sampai sebelum pintu pagar ditutup. Kami lega apabila berjaya menggunakan hak sebagai pemilih pada pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan SK Toh Tandewa Sakti di sini hari ini.
Tuck Chee dan Yoke Yin merupakan dua daripada tiga pengundi saat akhir yang tiba di pusat mengundi berkenaan.
Pusat mengundi di sekolah itu yang merekodkan pemilih berdaftar terendah iaitu seramai 378 orang dengan satu saluran mengundi itu ditutup pada pukul 4 petang.
Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning masih berjalan di 18 pusat mengundi sehingga pukul 6 petang ini. – UTUSAN