KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mula dibanjiri penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC (SPFC) menjelang aksi final Piala Malaysia edisi ke-98 yang bakal berlangsung malam ini.
Suasana di pekarangan SNBJ bertukar meriah dengan kehadiran ribuan penyokong yang membentuk ‘lautan’ biru dan kuning, sekali gus menepis tanggapan sebelum ini bahawa perlawanan akhir itu bakal berlangsung dalam suasana hambar.
Kehadiran luar biasa itu menggambarkan betapa final kali ini tetap mendapat tempat di hati peminat, meskipun ada ramalan sebelum ini yang menyifatkan JDT sebagai pilihan utama untuk menjuarai pertandingan.
Skuad Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad pastinya mahukan sejarah 2014 kembali berulang sementara bagi JDT mahu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang pernah dirangkulnya pada edisi lepas.
Jika berjaya muncul juara malam ini, skuad kendalian Hector Bidoglio akan mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan empat piala dalam tiga musim berturut-turut, atau ‘hatrik quadruple’, satu pencapaian yang sukar ditandingi oleh mana-mana pasukan lain dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M).
Rekod berprestij itu dijangka menjadi lambang dominasi JDT dalam kancah bola sepak tempatan untuk tempoh yang panjang.-UTUSAN