BN pertahan Ayer Kuning dengan majoriti lebih besar

Politik

TAPAH: Barisan Nasional (BN) menepati ramalan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dengan majoriti lebih besar.

Keputusan tidak rasmi itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mana setakat pukul 7.55 petang tadi, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 4,610 undi.

Beliau memperoleh 9,881 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek (5,271 undi) manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya meraih 938 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahrudddin menang dengan 2,213 majoriti apabila mendapat 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru mengatasi calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan PSM (586).

PRK Ayer Kuning menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 58 peratus daripada 31,281 pengundi berdaftar, tidak mencapai sasaran 70 peratus ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UTUSAN