KUALA LUMPUR: Keceriaan menjelang aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini tercalar akibat insiden pergaduhan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Kekecohan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.10 malam di kawasan hadapan Axiata Arena, kurang dua jam sebelum sepak mula perlawanan.
Pergaduhan tersebut menyaksikan aksi tumbuk-menumbuk dan sepak terajang, selain ada penyokong bertindak membaling objek seperti kon keselamatan, suar serta botol minuman ke arah lawan.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih tegang, sekali gus memastikan suasana kembali terkawal.
Final berprestij itu dijadualkan bermula pada jam 9 malam ini, dengan ribuan penyokong membanjiri stadium bagi menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak tanah air.-UTUSAN