Mohamad Yusri bersyukur, beri komitmen tunai janji PRK

Politik

TAPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning yang baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir menegaskan komitmennya untuk menunaikan semua janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Mohamad Yusri, 54, berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan demi manfaat warga kawasan itu.

“Insya-Allah, apa yang kita tawarkan melalui tekad dalam manifesto itu akan diusahakan sehingga mencapai tahap yang baik demi keselesaan dan kebaikan penduduk di kawasan DUN Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang pada PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.

Menurut Mohamad Yusri, kemenangannya pada pilihan raya itu datang bersama tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk penduduk di Ayer Kuning.

Katanya, beberapa perancangan dirangka untuk menyantuni pengundi bagi menzahirkan penghargaan termasuk bertemu rakan-rakannya esok.

“Syukur kerana diberi peluang untuk saya menggalas tugas sebagai ADUN Ayer Kuning. Saya akan menyantu mereka yang banyak memberi sokongan termasuk rakan-rakan di Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh,” katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri dari Barisan Nasional (BN) diumum menang dengan majoriti lebih besar apabila memperoleh 5,006 undi majoriti atau 11,065 undi keseluruhan.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN