RASMI: BN menang di Ayer Kuning majoriti 5,006 undi

Politik

TAPAH: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut  dengan majoriti lebih besar.

Beliau menang dengan majoriri 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan daripada 66 saluran undi dan undi pos sehingga penjumlahan undi tamat pada pukul 9.30 malam.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK N 48 Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah di sini.

Berdasarkan keputusan rasmi, Mohamad Yusri  yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Abdul Muhaimin memperoleh sebanyak 6,059 undi manakala Bawani pula dengan 1,106 undi

Berdasarkan rekod, peratus keluar mengundi mencatatkan peratusan sebanyak 58.07 peratus sementara undi ditolak berjumlah 289 undi.

Pada pilihan raya kali ini, seramai 31,897 pemilih berdaftar direkodkan SPR di mana seramai 582 orang merupakan pengundi awal dalam kalangan anggota polis dan pasangan serta undi pos.

Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022, Ishsam yang pertama kali bertanding berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning de­ngan majoriti 2,213 undi.

Ishsam memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – UTUSAN