Kemenangan di Ayer Kuning bukti kerajaan Perpaduan dapat sokongan rakyat

Politik

BAGAN DATUK: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Ayer Kuning merupakan petanda jelas kerajaan Perpaduan mendapat sokongan rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu juga menunjukkan dengan jelas sokongan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Kemenangan ini adalah petanda dokongan kepada kerajaan Perpaduan yang diwujudkan di negeri Perak.

“Ertinya sokongan kepada Datuk Seri Saarani Mohamad (Menteri Besar) dan juga satu manifestasi yang cukup jelas sokongan kepada kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun pelbagai perkara telah dilakukan oleh pihak lawan namun bagi saya ini satu kelaziman.

“Namun kesepaduan dalam kalangan parti-parti komponen dalam BN dan PH sekali lagi telah memenangkan calon BN di Ayer Kuning,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengucapkan terima kasih Saarani yang mengetuai jentera pilihan raya yang telah meletakkan keutamaan PRK tersebut sejak bulan Ramadan lagi.

“Usaha gigih dan kerja kuat Saarani telah membuahkan hasil.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera negeri Perak, ketua-ketua bahagian, jentera daripada bahagian-bahagian terutamanya jentera daripada Tapah sendiri yang telah bertungkus-lumus.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada parti-parti komponen BN yang telah menghantar jentera, juga parti-parti komponen BN dan parti-parti komponen Pakatan Harapan yang telah membantu sepenuh hati,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, selepas menang, BN akan menterjemahkan komitmen yang telah diberikan oleh bekas ADUN Ayer Kuning,  Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Menurutnya, beliau dan Menteri Besar akan memantau prestasi dan perkhidmatan calon BN yang menang PRK Ayer Kuning, Mohamad Yusri Bakir.

“Mudah-mudahan beliau akan terus turun ke bawah menyantuni akar umbi, menyantuni penduduk di Ayer Kuning dari pelbagai kaum dan rapatkan barisan serta santuni juga mereka yang belum sempat memberikan sokongan dalam bentuk undi kepada beliau,” katanya. – UTUSAN