PETALING JAYA: Beberapa pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan mengucapkan tahniah kepada Dr. Mohamad Yusri Bakir atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam yang membuktikan gelombang sokongan rakyat berpihak kepada parti itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan tersebut mencerminkan kepercayaan rakyat Ayer Kuning terhadap kepimpinan Mohamad Yusri.
Beliau turut menzahirkan harapan agar amanah diberikan dipikul dengan penuh integriti dan dedikasi.
“Mandat telah diberikan, kini tiba masanya untuk bekerja dan berkhidmat. Pastikan anda memberikan yang terbaik buat Ayer Kuning dan Negeri Perak.
“Kemenangan ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai. Mereka menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa.
“Ia juga isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik, berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook. Status berkenaan turut diiringi kompilasi video program dijayakan BN sempena PRK berkenaan sebelum ini.
PRK DUN Ayer Kuning semalam menyaksikan BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila Mohamad Yusri, 54, diumum menang dalam PRK tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan daripada 66 saluran undi dan undi pos sehingga penjumlahan undi tamat pada pukul 9.30 malam.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK N 48 Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kemenangan tersebut merupakan satu amanah besar daripada rakyat.
Katanya, keputusan tersebut membuktikan keyakinan terhadap BN untuk terus mengangkat agenda pembangunan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Kejayaan itu turut mencerminkan kekuatan kerjasama erat antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Dengan mandat besar yang diperoleh ini, BN akan terus memperjuangkan politik kesederhanaan, memperkukuhkan perpaduan rakyat dan menggerakkan segala potensi demi membina masa depan negara yang gemilang,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan tersebut membuktikan kematangan politik rakyat yang memilih kerjasama pelbagai kaum.
“Kemenangan ini menjadi asas kepada kestabilan negara Malaysia yang majmuk. Tahniah dan syabas kepada para pengundi Ayer Kuning,” katanya.
Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022, Ishsam yang pertama kali bertanding berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.
Ishsam memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – UTUSAN