Hakim Danish buka musim 2025 di atas podium

Sukan

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli membuktikan dirinya bukanlah calang-calang pencabar selepas muncul naib juara pada perlumbaan 1 dalam aksi pembukaan musim Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Jerez, Sepanyol, malam tadi.

Anak jati Kuala Terenggau itu yang memulakan aksi dari petak pertama, melengkapkan perlumbaan sebagai naib juara menerusi lakaran masa 25 minit 37.439 saat (s).

Brian Uriarte dari Sepanyol melakukan tindakan berani apabila nekad memintas pelumba Malaysia itu selepas selekoh terakhir dan sekali gus menjuarai perlumbaan dengan catatan masa terpantas 25:37.402s.

Pelumba Indonesia, Veda Pratama yang berjaya mendahului perlumbaan buat seketika sebelum dipintas Hakim Danish dan Uriarte, terpaksa berpuas hati menghuni tangga ketiga melalui lakaran masa 25:40.629s.

Hakim Danish yang meletakkan sasaran untuk berada di dalam kelompok tiga terbaik bagi mendapatkan tiket automatik beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun depan, melahirkan rasa gembiranya berada di kedudukan podium dalam perlumbaan pertama, musim ini.

“Ini podium pertama untuk pusingan pertama, kesilapan di pusingan terakhir telah membuka laluan kepada pencabar memintas saya.

“Saya sudah selesa pada pusingan terakhir itu, tetapi disebabkan kesilapan kecil yang saya lakukan, saya terlepas mengungguli perlumbaan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlumbaan 1 berakhir.

Bagaimanapun, katanya, dia berikrar akan menebus kesilapannya itu dengan memperbaiki persembahannya untuk perlumbaan 2, hari ini (pukul 2.45 petang waktu Malaysia).

“Saya berjanji akan beraksi lebih baik, nantikan saya di dalam perlumbaan 2, saya akan melakukan sesuatu bagi menebus kesilapan saya dan penting untuk saya belajar daripada kesilapan tersebut,” katanya.

Sebagai naib juara, Hakim Danish kini mengumpul 20 mata untuk berada di kedudukan kedua dan anak muda tersebut perlu mengekalkan prestasi baiknya itu bagi memenuhi sasaran SIC Racing yang memberi jaminan tempat buat pelumba itu di Moto3 dengan syarat dia perlu pamer keputusan konsisten. – UTUSAN