Ayer Kuning mesej jelas rakyat pilih perpaduan, kestabilan

Politik

TAPAH: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Ayer Kuning merupakan mesej jelas daripada rakyat yang memilih jalan perpaduan dan kestabilan.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan di Ayer Kuning juga membuktikan rakyat menolak politik kebencian dan sentimen sempit yang cuba dimainkan sepanjang tempoh kempen PRK tersebut.

“Amanah Perak mengucapkan tahniah kepada rakyat DUN Ayer Kuning yang telah memilih calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Kuning yang baharu.

“Kemenangan ini membuktikan kesepaduan erat antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan suara rakyat dipertahankan, dan pembangunan dapat diteruskan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Amanah Perak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak atas kepercayaan yang diberikan kepada Amanah untuk membantu operasi jentera di lima daerah mengundi (DM) sepanjang PRK itu.

Menurut Asmuni, kepercayaan yang diberikan itu telah dibuktikan dengan undi yang memberangsangkan.

“Seluruh jentera Amanah dari seluruh negara telah berjuang tanpa mengenal penat lelah dari hari pertama hingga ke saat akhir.

“Semangat kerja berpasukan ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang diterjemahkan di lapangan.

“Kemenangan ini menjadi asas penting untuk memperkukuhkan lagi kerjasama menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) demi memastikan kestabilan, kesejahteraan, dan kemajuan negara terus dipertahankan,” katanya.

BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5, 006 undi selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059) manakala calon PSM, Bawani KS 1,106 undi. – UTUSAN