Mohamad Yusri mulakan tugas sebagai wakil rakyat

Politik

TAPAH: Belum 24 jam diumum menang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir memulakan tugas sebagai wakil rakyat dengan meninjau projek baik pulih rumah penduduk di Kampung Jawa Batu Masjid, di sini hari ini.

Mohamad Yusri berkata, projek baik pulih rumah didiami warga emas berusia 87 tahun itu membabitkan kerja-kerja penggantian atap dan tingkap selain membaiki beberapa kerosakan lain.

Katanya, projek itu diusahakan oleh bekas wakil rakyat, Allahyarham Ishsam Shahruddin dengan kelulusannya diterima Mac lalu.

“Projek ini adalah antara usaha-usaha yang dijalankan oleh Allahyarham Ishsam dan alhamdulillah permohonan yang dibuat telah diluluskan dalam tiga minggu lalu.

“Kehadiran saya hari ini adalah untuk meninjau perkembangan projek ini dan kerja-kerja baik pulih rumah akan dimulakan minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Mohd. Mansor Selamat, 87, di sini hari ini.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan antara tiga tekad dan tujuh tawaran yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya dalam usaha memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat menjadi keutamaan.

“Bantuan baik pulih rumah ini merupakan satu daripada aspirasi kita untuk penduduk di Ayer Kuning dan ia juga telah dilaksanakan dalam tempoh Allahyarham menjadi wakil rakyat.

“Saya akan meneruskan apa yang dirancang bagi memastikan bantuan dan keselesaan penduduk dapat diikhtiarkan,” katanya.

Sementara itu Mohd. Mansor berkata, rumah itu dibina sendiri sekitar tahun 60-an dan terdapat banyak kerosakan berikutan keadaan kediaman yang telah reput.

“Sebelum ini bila ada kerosakan, kerajaan juga yang bantu. Malah, allahyarham ada dua kali datang ke rumah untuk tengok. Saya gembira apabila ada wakil rakyat yang prihatin,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Yusri bertemu masyarakat sekitar kawasan DUN Ayer Kuning antaranya Batu 3, Kampung Batu Masjid, Pekan Air Kuning dan Tapah Road.

Kehadiran bekas guru berusia 54 tahun itu bagi menyatakan penghargaan atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning semalam.

Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – UTUSAN