Pengaruh PN makin lemah, BN perlu waspada

Politik

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) perlu lebih berhati-hati dengan sebarang tindakan lawan mereka iaitu Perikatan Nasional (PN) yang dijangka akan lebih agresif selepas ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun PN dilihat melemah selepas mengalami kekalahan lagi siri pilihan raya kecil (PRK) dengan terbaharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam, namun parti itu diramalkan akan cuba dengan pendekatan lebih agresif.

“Empat siri PRK  ini berturutan dan berbeza negeri, semuanya BN lawan PN. Kesemuanya  kemenangan berpihak kepada BN dengan calon ditampilkan daripada UMNO

“Apabila pengaruh PN pada PRK lemah, kita (BN) jangka mereka akan menjadi lebih agresif. BN perlu lebih berhati-hati dalam menghadapi sebarang tindakan mereka selepas ini,” katanya

Ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad di sini hari ini.

Keputusan PRK Ayer Kuning semalam memihak kepada BN apabila calonnya, Dr. Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi.

Beliau meraih 11,065 undi menewaskan calon PN, Abdul Muhaimn Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, kemenangan semalam juga menunjukkan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) semakin membuahkan hasil

“Majoriti undi 5,006 undi ini naik hampir 100 peratus berbanding pada pilihan raya sebelum ini. Ini isyarat jelas bahawa kerjasama BN dengan PH diterima rakyat.

“Kadar keluar mengundi yang rendah dilaporkan sekitar 58 peratus. Kalau kadar keluar mengundi mencecah 75 peratus, saya yakin majoriti boleh meningkat ke 7,000 atau 8,000 undi,” ujarnya. 

Ahmad  menegaskan, empat kemenangan berturut-turut tersebut turut membuktikan BN masih menjadi pilihan rakyat.

“PRK Nenggiri di Kelantan, PRK Pelangai di Pahang, PKR Mahkota di Johor manakala PRK Ayer Kuning di Perak. Bukan satu, tetapi empat kejadian berturutan. Ia juga membuktikan BN tetap pilihan rakyat di empat negeri ini termasuk di negeri pembangkang,” jelas beliau. – UTUSAN