PETALING JAYA: Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (MRSB), anak syarikat tenaga solar komersial dan industri (C&I) milik Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) akan memasang sistem fotovoltaik solar atas bumbung di lima fasiliti utama MARDEC Berhad di Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua syarikat telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) pada 18 April 2025 untuk tujuan berkenaan.
Projek ini akan dilaksanakan di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan jumlah kapasiti terpasang kira-kira 3.54 megawatt-peak (MWp).
Fasiliti yang terlibat termasuklah MARDEC Processing Sdn. Bhd., MARDEC Industrial Latex Sdn. Bhd. dan M-POL Precision Products Sdn. Bhd. Pemasangan terbesar, yang berkapasiti 1.15 MWp akan dilaksanakan di MARDEC Processing Sdn. Bhd., Baling, Kedah.
Kerja-kerja pemasangan dijangka bermula pada pertengahan Julai 2025 dan akan disusuli dengan proses pengoperasian.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, inisiatif bersama MARDEC Berhad ini merupakan satu pencapaian penting dalam komitmen kami untuk memacu penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (TBB) berskala industri.
Ujarnya, dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam operasi utama, syarikat bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon mereka, malah memperkukuh daya tahan operasi jangka panjang.
“Pada tahun lepas, MRSB telah memperoleh 22.1 MWp projek tenaga solar C&I, dengan 17.4 MWp berjaya dipasang merentasi pelbagai sektor. Portfolio pelanggan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Akademi Penerbangan Malaysia, Kumpulan Syarikat UMW, Projek Lintasan Kota Holdings, Gas Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad dan DRB-HICOM
Berhad.
“Sehingga kini, MRSB telah membina portfolio tenaga solar C&I yang kukuh berjumlah 60 MW,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, setiap inisiatif yang dilaksanakan menyumbang kepada visi lebih besar dalam mempercepatkan peralihan tenaga bersih negara.
“Usaha-usaha ini secara kolektif membantu membentuk semula landskap tenaga Malaysia, dan kami kekal komited dalam meneruskan kerjasama strategik yang menjurus ke arah kelestarian jangka panjang,” katanya.
Malakoff sedang giat memperluas inisiatif TBB sambil memastikan keselamatan tenaga negara tidak terjejas. Menerusi tonggak perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat ini telah membina portfolio TBB yang kukuh berjumlah 173 MW.
Ini merangkumi pelbagai projek seperti Solar Berskala Besar, pemasangan solar C&I, penjanaan tenaga hidro kecil, serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon. Inisiatif ini menyerlahkan komitmen teguh Malakoff terhadap tujuan utamanya, iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’, sekali gus membuktikan dedikasi syarikat terhadap masa depan tenaga yang lestari dan berdaya tahan.
MARDEC Berhad adalah merupakan pemain utama dalam industri getah negara, khusus dalam pemprosesan dan perdagangan Standard Malaysian Rubber, lateks pekat serta produk getah khusus.
Syarikat ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong pekebun kecil getah menerusi usaha mempromosikan sumber lestari. – UTUSAN