Kemenangan BN beri isyarat kerjasama dengan PH berkesan

Politik

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi isyarat jelas bahawa kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) sangat memberangsangkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, calon BN, Mohamad Yusri Bakir yang meraih 11,065 undi sudah memadai untuknya menang mengatasi dua calon lain termasuk calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin yang memperoleh 6,059 undi

Jelasnya, PN tidak seharusnya memainkan isu undi BN merosot memandangkan ketiga-tiga parti yang bertanding pada PRK itu turut terkesan dengan jumlah peratusan yang mengeluar mengundi.

“Hakikatnya majoriti BN bertambah daripada 2,213 undi kepada 5,006 undi. Undi PN merosot dari 6,812 undi kepada 6,059 undi. Undi BN pula meningkat dari 9,088 undi kepada 11,065 undi.

“Walaupun hanya dapat menambah 2,000 undi daripada 9,000 undi, tetapi pada saya ia sudah memberangsangkan.

“Pada saya, kemenangan BN di PRK Ayer Kuning ini membuktikan bahawa kerjasama BN-PH bertambah baik dan ini akan mengukuhkan lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Semalam, peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini mencatatkan penurunan sebanyak 15.4 peratus melibatkan seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning berbanding 73.47 peratus yang direkodkan pada PRN lalu. – UTUSAN