PORT DICKSON: Walaupun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam, Perikatan Nasional (PN) percaya isu ladang babi yang dibawakan parti itu mendapat sokongan penduduk.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat dengan majoriti 88 undi menunjukkan bahawa penduduk memang mahu isu itu diberikan perhatian.
“Saya turun ke kawasan tersebut, ke ladang ternakan khinzir yang dibangkitkan penduduk. Kami menang di Tanjung Keramat, penduduk memang sudah bantah lama jadi mereka luahkan dalam kertas undi.
“Apa yang kami bangitkan betul bukan palsu. Ia realiti dan kami ambil air dan hantar ke makmal dan terbukti tidak melepasi piawaian. Kami yakin apa yang kami bangkitkan itu luahan pengundi di situ selama ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Lukut, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning yang diumumkan semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi secara keseluruhan.
Beliau menewaskan calon PN dari Pas, Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
Sementara itu, Idris yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning menolak anggapan bahawa isu yang dibawa PN itu bersifat perkauman dan lemah kerana ia berkaitan alam sekitar dan kesihatan penduduk.
“Bagaimanapun kami pada bulan depan akan melantik ahli jawatankuasa post mortem untuk kaji (keputusan PRK Ayer Kuning).
“Antara faktor yang kami lihat ada pengundi yang tidak dapat balik mengundi kerana kekangan tertentu,” katanya.