Saya hanya pertahan penjawat awam-Ahmad Jazlan

Politik

MACHANG: UMNO Kelantan menegaskan reaksi balas yang dikeluarkan berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud mempersoalkan tugas polis berkaitan pendedahan kes rogol di Kelantan bukan bertujuan melaga-laga wakil rakyat itu dengan agensi berkenaan.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kenyataan itu bertujuan mempertahankan integriti dan kredibiliti penjawat awam yang menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

“Saya sebagai orang politik perlu mempertahankan penjawat awam. Mereka melaksanakan dasar kerajaan dengan penuh integriti dan tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa asas fakta.

“Saya tidak mahu melagakan sesiapa, tetapi sebagai bekas Ahli Parlimen, saya tahu had ucapan dalam dewan. Kalau nak bercakap, fikir dulu. Jangan bercakap sebarangan,”katanya pada pemberita selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Inovasi di Dewan Profesional, Dewan Profesional, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, tindakan wakil rakyat Pas itu seolah-olah memperkecilkan usaha pihak keselamatan, selain tidak mencerminkan sikap berintegriti sebagai wakil rakyat

Katanya, sebagai ADUN yang membawa slogan membangun bersama Islam, beliau sepatutnya menegur kerajaan negeri supaya merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi membanteras jenayah, bukan menyerang pihak keselamatan.

“Tidak perlu untuk mempersoalkan tentang fakta dan sudah tentu pihak polis akan bercakap di atas dasar fakta, mereka penjawat awam, berintegriti, bermaruah, mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika kenyataan mereka ini tidak benar

“Sepatutnya beliau menegur kerajaan negeri tidak kira walaupun beliau daripada parti itu sendiri tetapi nampaknya beliau mengambil sikap untuk menyelar pihak keselamatan apabila mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Kelantan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Wan Rohimi meminta supaya Ahmad Jazlan tidak masuk campur dan melaga-lagakan beliau dengan pihak polis berhubung tegurannya secara terbuka kepada Ketua Polis negeri berkaitan pendedahan mengenai penglibatan pempengaruh dan usahawan kosmetik menjadi ketua sindiket jual dadah serta sumbang mahram semasa sidang DUN Kelantan minggu lalu.-UTUSAN