JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor Bahru akan akur dengan sebarang keputusan dicapai kepemimpinan Pusat dan negeri berhubung khabar angin pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi BN Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar bagaimanapun berkata, ketika ini pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.
Katanya, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada calon PH di Parlimen itu pada PRU akan datang.
“Ini perkara baharu bagi saya, apa yang saya dengar melibatkan Parlimen Pasir Gudang, khususnya selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan tidak akan bertanding semula.
“Mungkin khabar angin sahaja, tetapi apa-apa keputusan dibuat kepemimpinan, kita akan akur. Sekiranya kekal calon PH, BN Johor Bahru tidak mempunyai masalah bekerjasama dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad di sini, hari ini.
Sementara itu, Yahya mengucapkan tahniah kepada Ketua Cabang PKR Johor Bahru baharu, Mohamad Taufiq Ismail selepas berjaya menewaskan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir untuk jawatan itu dalam pemilihan PKR, minggu lalu.
“Kami ucapkan tahniah kepada Taufiq, kami percaya kerjasama antara BN dan PH di Johor Bahru akan menjadi lebih baik selepas ini. Kerana ketika Akmal menerajui PH Johor Bahru, tiada sebarang ‘engagement’ antara kami.
“Berbeza dengan Taufiq, selepas menang jawatan tersebut dia terus hubungi saya dan kami bersetuju mengadakan pertemuan minggu depan untuk membincangkan tentang kerjasama di parlimen ini,” jelasnya.
Semalam, Mohamad Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mendakwa terdapat cadangan pertukaran beberapa kerusi parlimen iaitu Johor Bahru dan Pasir Gudang antara BN dan PH untuk PRU akan datang. – UTUSAN