Kerjasama UMNO-PH akan dibincang dalam mesyuarat MKT UMNO

Politik

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam masa terdekat. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini, tiada keputusan rasmi mengenai kerjasama tersebut, namun isu ini dijangka dibincangkan dalam mesyuarat yang akan datang.

“Kita tiada sebarang keputusan (lagi setakat ini). Saya yakin perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Saya yakin ahli MKT yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini dan akan menyentuh tentang perkara ini (PRN Sabah).

“Ini sebenarnya adalah bidang tugas Biro Politik. Bagaimanapun, MKT akan sokong perkara ini setelah dibincangkan serta dibawa oleh biro dan seterusnya membuat keputusan akhir. 

“Oleh kerana ia (PRN Sabah) sudah terlalu dekat dan ramai telah membuat kenyataan, saya fikir ia akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini. 

Pada 13 April lalu, Tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama BN-PH (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). 

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pengumuman Bung Moktar itu bukan bahan jenaka walaupun pelbagai pihak termasuk daripada UMNO sendiri mengatakan belum ada keputusan rasmi mengenainya.

“Kenyataan terbaharu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengenai kerjasama antara UMNO Sabah (BN) dan PH menjelang PRN17 mencetuskan pelbagai reaksi. 

“Ada pihak termasuk dalam UMNO sendiri tampil menjelaskan tiada keputusan rasmi dibuat, manakala segelintir memilih untuk memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka,” katanya. – UTUSAN