IPOH: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu menerima hakikat parti itu kalah dalam PRK Ayer Kuning.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, analisis atau komen PN terhadap keputusan PRK tersebut seolah-olah mereka lebih awal telah meramalkan akan kekalahan.
Menurutnya, mungkin semua analisis dan komen yang dibuat oleh PN itu telah pun dibuat lebih awal.
“Barangkali dia sudah buat persiapan, barangkali seawal hari Isnin apabila mula menyedari bahawa mereka tidak mendapat sokongan.
“Mereka pun sudah mula mencipta alasan-alasan. Jadi alasan dikeluarkan sebaik sahaja mereka kalah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa majlis sambutan Hari Raya anjuran syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) Perak di sini hari ini.
Saarani berkata demikian ketika ditanya tentang komen BN gagal meraih sehingga 18,000 undi meskipun bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5, 006 undi selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059) manakala calon PSM, Bawani KS 1,106 undi.
Beliau meminta lawan menerima keputusan pengundi yang memberi kemenangan kepada BN disebalik pelbagai isu yang dibangkitkan.
“Ini alasan orang kalah. Macam bola sepak juga, apabila kalah pengadil disalahkan, gawang gol tidak betul. Terima hakikat BN menang,” katanya. – UTUSAN