Lebih 30,000 penyokong JDT meriahkan sambutan julang Liga Super

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Lebih 30,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) membanjiri Stadium Sultan Ibrahim, di sini bagi menyaksikan detik bersejarah kelab tersebut menjulang trofi Liga Super musim ke-11 berturut-turut, sebentar tadi.

Sambutan ‘Chapter 2: The 11’ diserikan lagi dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan Che Puan Mahkota Khaleeda Johor. 

Trofi Liga Super tersebut disampaikan oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan kepada Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio serta dua pemain, Farizal Maria’s dan Natxo Insa. 

Kemeriahan sambutan itu bermula sejak pukul 2 petang setelah venue pasukan Harimau Selatan itu mula diserbu penyokong dengan acara ‘FanFest’ di kawasan parkir stadium berkenaan.

AB. GHANI Hassan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan Piala Liga Super 2024/25 kepada Naxso Insa sempena Majlis Penyampaian di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Sambutan ‘Chapter 2: The 11 itu diserikan lagi dengan persembahan artis tempatan mulai pukul 4 petang seperti Sonaone, Datuk Awie, De Fam, Plaque of Happines, DJ Ziqq, DJ Nani, Sya & Zeppo.

Acara kemuncak berlangsung pada pukul 8 malam di dalam stadium menerusi persembahan Boys of Straits disusuli persembahan artis antarabangsa seperti Busta Rhymes, Fabolous, Big Ben, Onefour dan Jabbawockeez.

Usai skuad JDT menjulang trofi Liga Super musim 2024/2025, Stadium Sultan Ibrahim bergemerlapan dengan pertunjukan bunga api dan dron yang menutup acara sambutan yang penuh kemeriahan itu. – UTUSAN