Kekalahan di PRK Ayer Kuning, tidak halang PN menang pada PRU-16

Politik

MELAKA: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam tidak menjejaskan peluang parti itu untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.

Sebaliknya, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kekalahan tersebut menampakkan ruang dan peluang untuk PN mengukuhkan kedudukan dan mendapat lebih undian pada pilihan raya itu nanti.

Menurutnya, dalam mana-mana PRK, kelebihan banyak memihak kepada calon dari pihak kerajaan kerana mereka menggunakan semua jentera daripada agensi kerajaan untuk memenangkan calon yang bertanding.

“Kami memang sudah tahu bahawa daripada segi analisis yang dibuat di peringkat awal bahawa calon kita akan kalah. Bagaimanapun kita tetap rasa bangga kerana kedudukan pengundi yang dulu mengundi kita masih kekal bersama.

“Yang saya hairan Barisan Nasional (BN) sepatutnya mendapat undian yang lebih besar kerana kedua-duanya antara UMNO dan DAP sudah bergabung. Sepatutnya undi itu lebih besar tetapi mengapa mereka tidak boleh dapat undi yang dijangkakan.

“Itu menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan pengundi-pengundi di Ayer Kuning tidak mahu keluar mengundi kerana tidak bersetuju dengan kedudukan percampuran antara UMNO dan DAP,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Hamzah berkata, Bersatu menyedari Ayer Kuning adalah kubu kuat BN sejak sekian lama, namun tetap berpuas hati dengan prestasi parti dalam PRK berkenaan dan berbangga berjaya mengekalkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi keseluruhan.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu berjaya menewaskan dua pencabar, iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, dari PN yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pula mendapat 1,106 undi. – UTUSAN