BAGI jenama automotif nombor satu negara untuk kategori kenderaan bukan nasional, Honda mempunyai dua masalah.
Satu, ia menerima cabaran yang kuat dari jenama-jenama China dan kedua, ia dikatakan popular kerana dibeli oleh “mereka yang hanya minat pada jenama sedangkan produknya tidak begitu bagus”.
Masalah yang pertama itu ialah isu global dan juga sedang melanda jenama-jenama legasi lain tetapi yang kedua itu lebih kepada persepsi, dan seperti kebanyakan masalah berkaitan isu yang sama, ia tidak benar.
Sehebat mana pun jenama itu, jika produknya tidak begitu menarik, dan jika penyelenggaraannya mahal dan sukar, ia tidak akan bertahan lama.
Contohnya seperti Chevrolet yang pada mulanya begitu popular tetapi selepas lima tahun, ia lenyap terus dari Malaysia dan kebanyakan negara ASEAN.
Honda mula menjadi jenama bukan nasional nombor satu negara sejak 2014 dan untuk mengatakan ratusan ribu pelanggannya “tidak kenal barang” bermaksud anda kemungkinan yang tidak arif tentang kenderaan.
Seteru utama Honda di Malaysia ialah Toyota, dan Malaysia adalah antara negara yang unik kerana Toyota gagal menjadi juara carta jualan. Jawapan kepada fenomena ini mudah kerana tempat Toyota diambil alih oleh jenama-jenama nasional kita, Perodua dan Proton.
Sebab utama Honda menjadi pilihan ialah kerana pembeli mahukan lebih daripada praktikaliti dan kelasakan dengan harga yang dibayar, dan model-model lazim Toyota jarang memberikan fokus kepada kemewahan, gaya dan prestasi.
Contoh terbaik ialah sedan segmen C di mana Honda menampilkan Civic dan Toyota dengan Corolla Altis. Tak perlu pergi dengan lebih mendalam kerana dari segi luaran sahaja, anda boleh lihat Corolla Altis lebih sesuai untuk dijadikan sebuah teksi atau kereta peronda – seperti yang menjadi kelaziman di kebanyakan negara.
Di Malaysia, peronda polis pun menggunakan Honda Civic!
Honda Malaysia melancarkan Civic kemas kini (facelift) pada Januari lalu dengan beberapa penambahan yang lebih ke arah ciri-ciri bukan teknikal.
Penulis mengambil peluang untuk memandu uji Civic 2.0L e:HEV RS versi 2025 dan bersetuju bahawa dari segi teknikal, ia sama sahaja.
Malah harganya juga kekal sama – RM167,900 termasuk waranti lima tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan dan waranti lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri lithium-ion.
Dari segi luaran, perbezaan sebenarnya yang ketara ialah pada bamper dan gril hadapan di mana ia nampak lebih agresif dan mengurangkan efek “jendul” yang diperkatakan oleh sesetengah netizen. Gril mempunyai bukaan yang lebih besar dengan jeriji “honey comb” sementara bahagian bucu bumper nampak lebih berlekuk.
Secara keseluruhan, bumper hadapan ini menyebabkan Civic hibrid ini 3.0 mm lebih panjang dari varian sebelumnya. Bahagian belakang kekal sama kecuali lampu yang digelapkan agar nampak lebih sporty.
Bahagian dalam juga sama, dengan sistem infotainment dengan Google yang membolehkan anda memuat turun aplikasi-aplikasi dari Play Store. Ia mungkin tidak ada sistem audio dari Bose tetapi ia dilengkapkan dengan Active Sound Control untuk mengurangkan bunyi dari luar dan memberikan efek bunyi enjin yang lebih garang.
Enjin 2.0L Atkinson Cycle tanpa turbo menghasilkan 143 PS dan 189 Nm sementara motor elektrik pula memberikan 184 PS dan 315 Nm.
Hantaran tenaga ke roda hadapan ialah melalui transmisi e-CVT di mana pada kelajuan tinggi, klac akan dikunci untuk memastikan tenaga hanya datang dari enjin sahaja bagi menjanjikan prestasi yang lebih efisien (dan menjaga motor elektrik).
Pecutan tegar yang digandingkan dengan sistem gantungan serta tayar premium itu menjadikan Civic hibrid ini bersahaja dalam apa jua keadaan. Penulis memandu lebih dari 600 kilometer (km) dan masih mempunyai baki suku tangki bahan api lagi (tangki penuh ialah 47 liter).
Di laluan licin dan berliku, Civic RS hybrid ini jauh lebih mengujakan dari varian dengan enjin turbo. Ini ialah kerana hantaran tenaga yang lebih linear, daya kilas yang lebih tinggi kerana ada motor elektrik untuk membantu dan transmisi e-CVT yang lebih tangkas dan lancar.
Lagak Civic hibrid ini umpama sebuah sedan segmen D yang lebih besar – ia tenang, tidak kasar walaupun jalan raya tidak begitu cantik dan kabinnya lebih senyap. Laluan dari Temerloh ke Pekan, melalui Chenor, Mambang, Chini dan Paloh Hinai ialah jaluran jalan lama di tepi Sungai Pahang terasa cukup menyeronokkan.
Bila laluan kosong, selekoh masih boleh diratah dengan agresif dan bila terpaksa, brek pantas menangkap tanpa drama. Ia adalah sebuah sedan yang sudah cukup matang dan nyata direka oleh mereka yang benar-benar suka memandu kereta.
Bila pesaing lain menawarkan peralatan yang lebih banyak pada harga yang rendah, atau rekabentuk yang sporty tetapi enjin yang lemau, Civic 2.0L RS e:HEV ini hanya mampu dihargai oleh mereka yang sudah mempunyai pengalaman memandu pelbagai jenis kenderaan – baik dari Asia, China ataupun Eropah.
Nilai harga yang dipinta berbanding dengan prestasi yang ditawarkan memang akan menarik perhatian jauhari sebenar di kalangan kita.
Spesifikasi
Honda Civic 2.0L RS e:HEV
Enjin: 1,993cc 4-silinder 16 injap DOHC
Tenaga maksimum: 143 PS dari enjin; 184 PS dari motor elektrik
Daya kilas maksimum: 189 Nm dari enjin; 315 Nm dari motor elektrik
Transmisi: e-CVT
Kelengkapan: Honda Connect, Apple Car Play, Android Auto, Google.
Harga: RM167,900 – UTUSAN