PETALING JAYA: Malaysia membuka kempen Piala Sudirman 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah Perancis 5-0 pada aksi pertama Kumpulan C di Xiamen, China, sebentar tadi.
Gandingan beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tidak berdepan masalah apabila mudah menumpaskan Mael Cattoen-Lucas Renoir 21-11, 21-9 dalam masa hanya 29 minit.
Perseorangan wanita, Goh Jin Wei kemudian meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Leonice Huet 21-10, 21-19 untuk memastikan Malaysia semakin selesa mendahului.
Kapten negara, Leong Jun Hao pula dipaksa bermandi peluh sebelum menamatkan cabaran sengit Arnaud Merkle 22-20, 21-19 sekali gus mengesahkan mata ketiga buat skuad negara.
Beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah tampil garang apabila mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan pasangan Marget Lambert-Camille Pognante 21-13, 21-10.
Malaysia melengkapkan malam gemilang itu menerusi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, yang tidak memberi peluang kepada Gregoire Deschamp-Elsa Jacob dengan kemenangan 21-7, 21-19.
Skuad negara akan menentang Australia, yang sebelum ini dibelasah Jepun 0-5, dalam aksi kedua kumpulan esok sebelum berdepan ujian sebenar menentang Jepun pada 1 Mei nanti. – UTUSAN