Minta peruntukan muka manis, dapat hentam kerajaan

Politik

GUA MUSANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegur sikap pemimpin pembangkang supaya tidak hanya bermuka manis semasa memohon peruntukan, namun menghentam Perdana Menteri dan kerajaan sejurus selepas menerimanya.

Beliau berkata, setiap kali pilihan raya, pembangkang bertindak menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tindakan itu seolah-olah tidak berterima kasih.

“Saya lumat (dihentam), tidak salah untuk kita berbeza pendapat. Janganlah, masa minta muka senyum, muka 10 sen. Bila dapat hentam Perdana Menteri balik.

“Jangan begitu, mesti bersyukur dan terima kasih. Bila pilihan raya mereka hentam Perdana Menteri, saya lumatlah,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu menyebut mana-mana individu atau yang berbuat demikian.

“Namun itulah yang berlaku. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Kelantan malah Kedah, Perlis dan Terengganu

“Sikap begitu perlu diubah kerana ia sesuatu yang tidak baik. Benar ada peruntukan yang harus disalurkan, tapi yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah atas semangat Kerajaan Madani. Salah satu sikap kerajaan Madani adalah ihsan,” ujarnya. – UTUSAN