Reach Ten catat untung bersih tertinggi RM70.6j

Perniagaan

PETALING JAYA: Reach Ten Holdings Berhad (Reach Ten) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM70.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, meningkat 37.6 peratus  berbanding RM51.3 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpusat di Sarawak itu berkata, prestasi lebih baik menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities itu didorong oleh peningkatan keuntungan kasar dan margin keuntungan kasar yang lebih tinggi. 

Bagaimanapun, hasil keseluruhan bagi syarikat menurun sebanyak 6.3 peratus kepada RM170.9 juta, berbanding RM182.3 juta pada tahun sebelumnya disebabkan oleh sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen utama iaitu rangkaian dan perkhidmatan komunikasi berasaskan satelit. 

Reach Ten berkata, pendapatan sesaham (EPS) bagi 2024 turut meningkat kepada 8.82 sen, berbanding 6.42 sen pada 2023.

Bagi tempoh kewangan suku keempat, Reach Ten mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM18.6 juta dengan hasil sebanyak RM34.2 juta, manakala EPS untuk suku ini ialah 2.33 sen. 

Tiada angka perbandingan bagi suku yang sama tahun sebelumnya memandangkan ini adalah laporan interim pertama yang diumumkan oleh syarikat selaras dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Securities. 

Reach Ten Group terlibat dalam penyediaan rangkaian dan perkhidmatan komunikasi berasaskan satelit, rangkaian dan perkhidmatan komunikasi gentian optik, serta perkhidmatan infrastruktur dan pengurusan telekomunikasi. 

Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, 2024 merupakan tahun yang luar biasa buat Reach Ten dengan pencapaian prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat. 

“Kejayaan ini dipacu oleh pelaksanaan projek penting seperti pemasangan VSAT dan penyediaan perkhidmatan jalur lebar berulang untuk komuniti luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan. 

“Kami juga telah mengembangkan laluan gentian baharu secara strategik serta memanfaatkan infrastruktur sedia ada untuk meluaskan liputan rangkaian bagi pelanggan kami,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, strategi perniagaan Reach Ten tertumpu kepada pengembangan rangkaian gentian optik di Kuching dan Samarahan serta membina rangkaian baharu di Miri, Sibu dan Bintulu.

Katanya, ini untuk memperluas liputan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan atau kawasan pembangunan baharu bagi menambah pegangan pasaran. 

“Dengan pelan pengembangan tiga tahun, kami yakin dapat mencapai sasaran dalaman apabila kami mengembangkan infrastruktur rangkaian gentian optik di seluruh Miri, Sibu dan Bintulu selaras dengan permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Ini sekali gus meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan masa depan di rantau-rantau utama ini,” tambahnya.

Reach Ten dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities pada 2 Mei 2025.-UTUSAN