Mclaren ‘buka pintu’ buat Sainz kembali

Sukan

LONDON: Bos McLaren, Zak Brown memberi bayangan bahawa bekas pemandu Ferrari, Carlos Sainz berpeluang untuk kembali bersama pasukan itu jika ada kekosongan pada masa depan.

Walaupun McLaren kini selesa dengan gandingan Lando Norris dan Oscar Piastri yang terikat kontrak jangka panjang, Brown tetap tidak menutup pintu buat bekas pemandunya itu.

“Jika kami mempunyai tempat kosong, sudah tentu kami akan mempertimbangkan Sainz.

“Tetapi buat masa ini, kami ada Norris dan Piastri untuk beberapa tahun, namun andai situasi berubah, saya masih ada nombor Sainz dalam buku alamat,” kata Brown.

Sainz, yang pernah meraih podium bersama McLaren pada 2019 dan 2020, kini berlumba untuk Williams selepas tempatnya di Ferrari diambil alih oleh legenda tujuh kali dunia, Lewis Hamilton.

Walaupun keputusan Ferrari dilihat mengejutkan, Brown memahami bahawa peluang untuk mendapatkan bintang seperti Hamilton adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam Formula Satu (F1).

“Ianya tidak semudah itu (mendapatkan Hamilton), terdapat banyak dinamik di sekelilingnya yang memainkan peranan. Hamilton adalah juara tujuh kali dan tidak banyak kali anda boleh mempunyai ahli sukan seperti itu dalam pasukan anda.

“Tetapi pada masa yang sama, Sainz hebat dengan kami, kawan baik dan pemandu yang hebat. Nasib baik, saya tidak mendapati diri saya dalam situasi di mana saya terpaksa membuat keputusan itu,” katanya. – AGENSI