PETALING JAYA: Isu retorik yang cuba mengaitkan perspektif 3R iaitu ‘agama, bangsa dan raja’ sudah tidak relevan untuk dijadikan bahan berkempen dalam pilihan raya.
Justeru, mana-mana parti atau gabungan politik perlu menilai semula pendekatan mereka sebelum memasuki minggu berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Felo Penyelidik Bersekutu Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, isu sensitif seperti perkauman dan keagamaan secara semberono tidak lagi berkesan mempengaruhi minda masyarakat terutama pengundi atas pagar.
“Strategi yang terlalu bergantung kepada isu-isu perkauman dan keagamaan telah terbukti kurang berkesan dalam menarik sokongan merentas komuniti, sekali gus menyumbang kepada kekalahan dalam PRK,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 26 April lalu, calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dr. Yusri menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek yang mendapat 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya meraih 1,106 undi.
Tambah Muhd. Afifi, pengabaian pembangunan sesuatu kaum juga merupakan kelemahan yang ketara untuk meraih sokongan di kawasan yang mempunyai kepelbagaian demografi.
“Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, sebarang gabungan politik yang berhasrat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan perlu mendapat sokongan daripada pelbagai kelompok etnik,” katanya. – UTUSAN