Eco-Shop lancar IPO terbesar negara dalam lapan bulan

Perniagaan

PETALING JAYA: Eco-Shop Marketing Bhd. melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara dalam tempoh lapan bulan dengan sasaran menjana RM419.87 juta di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat yang menjual barangan isi rumah harian itu menawarkan 187 juta saham baharu (bahagian runcit) pada harga RM1.21 sesaham.

Saham terbitan yang diperbesar berjumlah 5.747 bilion saham menjadikan permodalan pasaran Eco-Shop atas penyenaraian adalah sekitar RM7.0 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, model perniagaannya akan terus kekal kukuh meskipun berdepan cabaran akibat sentimen pasaran susulan peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS). 

“Kami mengambil kira faktor pasaran dalam setiap keputusan perniagaan. Namun, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, model perniagaan berasaskan harga mampu milik seperti Eco-Shop dilihat semakin relevan.

“Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, kami menawarkan harga yang sangat mampu milik. Sebagai contoh, jika harga secawan kopi kini mencecah RM10 hingga RM15 di kedai kami, pelanggan boleh mendapatkan tiga hingga empat barangan dengan hanya RM10,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran prospektus Eco-Shop di sini semalam.

Menurutnya, kekuatan EcoShop terletak pada model pemerolehan berasaskan volum yang membolehkan syarikat membeli dalam kuantiti besar dan membungkus barangan dalam saiz kecil, sekali gus mengekalkan harga rendah.

“Dari aspek operasi dan infrastruktur, kami memiliki keupayaan yang mantap. Format kedai kami juga fleksibel dan sesuai untuk pelbagai lokasi, dari kawasan luar bandar hinggalah ke pusat bandar,” katanya.

Tambahnya, strategi ini membolehkan EcoShop terus memainkan peranan penting dalam membantu pengguna mendapatkan barangan harian pada harga berpatutan, terutamanya ketika ekonomi global tidak menentu.

Permohonan bagi tawaran runcit IPO ini akan ditutup pada 7 Mei dan syarikat dijadualkan disenaraikan pada 23 Mei di Bursa Malaysia. 

Eco-Shop kini mengendalikan 358 buah cawangan di seluruh negara, menjual lebih 10,000 jenis produk, termasuk barangan berjenama pihak ketiga dan jenama sendiri, daripada mainan hingga ubat gigi.

Eco-Shop merancang untuk menggunakan hasil daripada IPO ini bagi memperluas rangkaian kedainya, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar serta melabur dalam infrastruktur logistik dan pengedaran.

Mengenai strategi masa depan, Eco-Shop bercadang untuk membuka secara purata kira-kira 70 kedai baharu setiap tahun sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Mereka juga merancang untuk memberi tumpuan kepada pembukaan kedai baharu di kawasan pinggir bandar dan luar bandar dengan saiz kedai yang akan bergantung pada beberapa faktor seperti landskap runcit dan aktiviti ekonomi kawasan terbabit.

Eco-Shop memperuntukkan sebanyak RM56.27 juta (13.4 peratus) untuk pembukaan kedai baharu di seluruh Malaysia, RM200 juta (47.6 peratus) untuk mengembangkan pusat pengedarannya, RM10.9 juta (2.6 peratus) untuk pelaburan dalam perkakasan dan perisian teknologi maklumat, RM100 juta (23.8 peratus) untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM52.7 juta (12.6 peratus) untuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan IPO dan penyenaraian di Pasaran Utama. – UTUSAN