Liga M menuju zaman ‘gelap’?

Sukan

PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) kini menuju zaman ‘gelap’ selepas beberapa pasukan menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada bertanding musim depan.

Perak FC dan Sri Pahang FC merupakan dua pasukan yang bakal mengangkat bendera putih kerana difahamkan tidak lagi mampu menanggung beban kewangan yang makin meruncing.

Kedudukan kewangan kronik dihadapi Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC juga bakal menyebabkan dua pasukan itu turut terkubur.

Sehubungan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil tindakan segera dan efektif bagi menyelamatkan saingan Liga M.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, masalah kewangan kelab Liga M telah berlarutan lama dan situasi itu benar-benar merugikan bola sepak negara.

Jelasnya, secara peribadi dasar penswastaan Liga M terbukti gagal apabila empat kelab yang sebelum ini gah dalam saingan liga tempatan sudah tidak mampu bergerak secara profesional.

“Saya dah cakap perkara ini sejak lima ke enam tahun lalu lagi, malah sebelum Covid-19 lagi saya dah cakap isu ini. Tapi siapalah saya, seorang rakyat biasa yang tidak bijak macam orang-orang dalam industri.

“Tengok sekarang apa yang sudah jadi. Apabila Sri Pahang FC serta Perak FC mengaku tidak boleh bertahan lagi, ini sebenarnya satu petanda keruntuhan liga kita.

“Kelantan (KDN FC) dan Kedah (KDA FC) juga bermasalah dan mungkin juga tidak lepas untuk beraksi dalam Liga M sebab isu kewangan dan tunggakan gaji yang tinggi.

“Fenomena teruk ini perlu diatasi segera. Saya harap semua pihak khususnya MFL, kelab, profesor atau pakar, tolonglah duduk berbincang selesaikan masalah ini.

“Jika tidak bola sepak kita akan terus dibelenggu masalah dan akhirnya ia akan memberi kesan besar kepada prestasi skuad kebangsaan,” katanya.

Sekiranya Perak, Sri Pahang, KDA FC dan KDN FC tidak menyertai Liga M musim depan, mereka bakal mengikut jejak Sarawak United, Melaka United dan Kelantan FC sebelum ini yang terkubur.

Tarikh akhir permohonan Lesen Kebangsaan adalah pada hari ini dan ia bakal menjadi penentu nasib buat KDA FC, KDN FC serta Perak FC dan Sri Pahang FC.-UTUSAN