MIHAS sasar transaksi jualan RM4.5 bilion

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan RM4.5 bilion potensi jualan menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 sehingga 20 September ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun ketidaktentuan ekonomi global masih berterusan, pasaran halal global dijangka terus berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030.

“Dengan Malaysia memegang piawaian emas dunia bagi barangan dan perkhidmatan halal yang diperakui, ini membuka peluang besar kepada pengeksport kita untuk mengembangkan jejak mereka di peringkat antarabangsa.

“Sehubungan itu, kami berharap dapat memanfaatkan platform MDT berkuasa AI (kecerdasan buatan) untuk membantu mencapai sasaran jualan MIHAS sebanyak RM4.5 bilion bagi produk dan perkhidmatan halal yang berkualiti tinggi dan diperakui menjelang tahun 2025.” katanya dalam ucapan dalam Majlis Pra-Pelancaran MIHAS 2025 di sini, hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri. 

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pameran tahun ini bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan Halal’ menunjukkan komitmen Malaysia untuk mengetengahkan kemajuan terkini dalam industri halal serta meraikan kecemerlangan global dalam sektor yang pesat membangun ini.

Ujarnya, dimensi baharu yang menarik pada MIHAS tahun ini ialah integrasi sistem padanan perniagaan berasaskan AI bagi Program Pencarian Sumber Antarabangsa (INSP).

“Ciri inovatif ini dipacu oleh platform dagangan digital moden terbaharu kami yang dikenali sebagai Platform Perdagangan Digital Moden (MDT).

“MDT berperanan sebagai alat yang tepat dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran global dengan lebih berkesan serta menjalankan perdagangan digital rentas sempadan secara lancar.

“Edisi MIHAS kali ini juga akan menampilkan kepelbagaian negara anggota ASEAN dan budayanya, selaras dengan Pengerusi ASEAN tahun ini. 

“Matlamat kami adalah untuk memupuk dialog yang bermakna, merangsang kerjasama yang sinergi dan akhirnya mendorong pertumbuhan perniagaan yang ketara,” katanya.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, Matrade yakin dalam mencapai RM1.58 trilion jualan pasaran eksport menjelang tahun 2025. 

“Angka itu, yang menyamai pencapaian rekod pada tahun 2024, disifatkan sebagai sasaran yang ‘rendah diri’, sambil menegaskan komitmen agensi tersebut untuk tidak mencatat pencapaian lebih rendah daripada penanda aras itu,” katanya. 

MIHAS edisi ke-21 ini turut menampilkan 2,380 pempamer dari 45 negara dan dijangka menarik 43,000 pengunjung dari 90 negara.-UTUSAN